Tumpuan :
Dunia

‘Song Kang Sweet Home’ bakal jalani khidmat tentera  

KUALA LUMPUR: Teraju utama kdrama popular Sweet Home, Song Kang, bersedia untuk menjalani khidmat ketenteraan yang diwajibkan, dalam masa terdekat.

Pelakon berusian 29 tahun itu berkata itu adalah sumbangan wajibnya kepada negara tercinta dan pastinya akan kembali semula merancakkan karier seni selepas tamat bertugas.

“Kenyataannya ia memang tanggungjawab saya. Maka, saya akan memenuhi tugas saya berkhidmat dalam ketenteraan dan kembali semula, sihat dan baik-baik,” katanya pada sidang media siri Netflix, Sweet Home musim kedua (Sweet Home 2), di Seoul, Korea Selatan.

Kang juga memaklumkan siri terbabit menjadi projek yang terakhirnya sebelum menyertai tentera.

Namun, menurutnya dia tidaklah beremosi sangat memikirkan hal itu.

“Tidak memberi kesan sangat kepada saya hanya kerana ia drama terakhir sebelum memasuki tentera. Ia lebih kepada bagaimana Sweet Home menjadikan siapa diri saya sekarang.

“Ia ada satu tempat yang sangat istimewa dalam hati saya. Apabila menulis diari, saya akan coret mengenai Hyun-soo. Disebabkan genrenya fantasi dan pasal raksasa, ia tidak terikat, sedikit berbeza kehidupan sebenar kita,” katanya.

Nama Kang sudah menjadi sebutan antara selebriti yang bakal tersenarai memasuki khidmat ketenteraan.

Bagaimanapun, dia tidak pernah memperincikan mengenai butiran mengenainya.

Bukan hal asing lagi apabila selebriti lelaki Korea Selatan lingkungan 18 hingga 35 tahun wajib memenuhi tuntutan itu.

Mereka perlu jalani khidmat terbabit dalam tempoh 18 hingga 21 bulan.

Sementara itu, Sweet Home 2 bakal memulakan tayangannya esok.

Drama arahan Lee Eung-bok itu turut dibintangi Lee Jin-uk, Lee Si-young, Ko Min-si, Jinyoung, Yoo Oh-seong, dan Kim Moo-yeol.

Loading...
Terkini