Tumpuan :
Dunia

Somalia lancar kad pengenalan digital

Foto: Agensi

MOGADISHU: Somalia pada Sabtu melancarkan proses pendaftaran kad pengenalan digital, satu langkah “bersejarah” dalam usaha memupuk transformasi digital di negara itu.

Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud dan Perdana Menteri Hamza Abdi Barre, antara individu pertama yang menerima kad pengenalan mereka, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mohamud dalam satu kenyataan di X (Twitter) menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai satu peristiwa penting dan akan meningkatkan keselamatan dan memperkasakan perkhidmatan awam, serta menyediakan rakyat (dengan) identiti mereka.

Perdana Menteri Barre berkata sistem kad pengenalan biometrik baharu itu akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat, di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perpaduan di negara ini.

“Dengan pelancaran sistem pengenalan biometrik, rakyat kita akan menikmati hak perlembagaan mereka sepenuhnya,” katanya pada majlis pelancaran di Mogadishu.

Beliau berkata langkah itu juga akan membantu rakyat Somalia mengatasi pelbagai cabaran sosioekonomi yang menghalang potensi pembangunan, sambil memajukan demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Pelancaran bersejarah itu dibuat ketika negara berkenaan sedang menentang kumpulan pengganas yang bersekutu dengan al-Qaeda yang telah berperang dengan kerajaan dan Pasukan Pengaman Kesatuan Afrika di negara itu sejak 2007. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini