comscore
Tumpuan :
Dunia

Skandal suplemen: Pengerusi, Presiden Kobayashi Pharma Jepun letak jawatan

FOTO: Agensi

TOKYO: Pengeluar ubat Jepun, Kobayashi Pharmaceutical Co. mengumumkan pada Selasa bahawa pengerusi dan presidennya telah meletak jawatan berhubung isu kesihatan dan kematian yang berpotensi dikaitkan dengan suplemen beras yis merah, lapor Xinhua.

Peletakan jawatan Pengerusi Kazumasa Kobayashi dan Presiden Akihiro Kobayashi, kedua-duanya ahli keluarga pengasas syarikat itu, telah diluluskan pada mesyuarat khas lembaga pengarah awal hari ini.

Gergasi farmaseutikal yang berpusat di Osaka itu juga mengeluarkan laporan siasatan mengenai pengendalian isu itu, mengakui kelewatan dalam memberi amaran kepada pengguna tentang potensi risiko dan menarik balik produk mereka.

Sementara itu, Satoshi Yamane, 64, pengarah eksekutif kanan Kobayashi Pharmaceutical, telah dinaikkan pangkat menjadi presiden syarikat, menjadikannya orang pertama di luar keluarga pengasas syarikat yang memegang jawatan berkenaan.

Selepas meletak jawatan, Kazumasa, 84, akan menjadi penasihat khas manakala Akihiro, 53, akan melepaskan kuasa untuk mewakili syarikat tetapi kekal sebagai pengarah untuk menangani pampasan bagi bahaya kesihatan yang disebabkan oleh suplemen itu.

Menurut Kobayashi Pharmaceutical, jumlah kematian yang perlu disiasat berkaitan dengan penggunaan suplemennya mencecah 101 setakat Ahad, termasuk empat orang yang diumumkan oleh syarikat pada Mac telah meninggal dunia selepas mengambil suplemen beras yis merah atau Beni-Koji. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini