Pemimpin Hamas yang dilaporkan terbunuh di Iran, Ismail Haniyeh, adalah figura yang lantang dalam diplomasi antarabangsa membabitkan kumpulan pejuang Palestin itu, ketika konflik di Gaza.
Bagaimanapun beliau dilihat oleh ramai diplomat sebagai seorang yang sederhana, berbanding anggota-anggota yang lebih tegas dalam Hamas.
Dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada tahun 2017, Haniyeh bergerak antara Turkiye dan ibu negara Qatar, Doha, meloloskan diri dari sekatan perjalanan di Semenanjung Gaza, membolehkan beliau bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan gencatan senjata atau berbincang dengan sekutu Hamas iaitu Iran.
“Semua perjanjian normalisasi yang kamu (negara-negara Arab) tandatangani dengan (Israel) tidak akan mengakhiri konflik ini,” kata Haniyeh di stesen TV Al Jazeera yang berpusat di Qatar, sejurus selepas serangan pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan konflik berterusan, mengorbankan lebih 35,000 nyawa di Gaza.
ANAK LELAKI TERBUNUH DALAM SERANGAN UDARA
Sumber Hamas memaklumkan, tiga anak lelaki Haniyeh; Hazem, Amir dan Mohammad terbunuh pada 10 April 2024, apabila serangan udara Israel membedil kereta yang mereka naiki.
Haniyeh juga kehilangan empat cucunya, tiga perempuan dan seorang lelaki dalam serangan berkenaan.
Tegas beliau “kepentingan rakyat Palestin adalah yang paling utama” ketika ditanya sama ada kematian anak-anaknya akan mempengaruhi rundingan gencatan senjata.
Meskipun berbicara tegas di khalayak ramai, diplomat dan pegawai Arab menganggap beliau sebagai seorang yang agak pragmatik, berbanding suara-suara lain yang lebih tegas di dalam Gaza.
Walaupun memberitahu tentera Israel bahawa mereka akan “tenggelam di pasir Gaza,” beliau dan pemimpin Hamas terdahulu, Khaled Meshaal telah bergerak di seluruh rantau untuk berbincang mengenai perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Qatar.
Ia termasuk pertukaran tawanan untuk rakyat Palestin di penjara Israel serta lebih banyak bantuan untuk Gaza.
DIPLOMASI BERGERAK
“Haniyeh mengetuai pertempuran politik untuk Hamas dengan kerajaan-kerajaan Arab,” kata Adeeb Ziadeh, seorang pakar dalam hal ehwal Palestin di Universiti Qatar, sebelum kematiannya.
Ujarnya lagi, beliau mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh yang lebih tegas dalam kumpulan itu dan sayap ketenteraannya.
“Beliau adalah wajah politik dan diplomatik Hamas,” kata Ziadeh.
Haniyeh dan Meshaal telah bertemu dengan pegawai di Mesir, yang juga memainkan peranan dalam rundingan gencatan senjata.
Menurut media Iran, Haniyeh melakukan perjalanan pada awal November ke Tehran untuk bertemu pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Untuk rekod, Haniyeh adalah penyokong awal Hamas untuk menceburi politik.
Pada 1994, beliau berkata, penubuhan parti politik “akan membolehkan Hamas menangani perkembangan yang sedang berlaku.”
Meskipun ditolak oleh kepimpinan Hamas pada mulanya, ia kemudiannya diluluskan dan Haniyeh menjadi Perdana Menteri Palestin selepas kumpulan itu memenangi pilihan raya parlimen Palestin pada 2006, setahun selepas tentera Israel menarik diri dari Gaza.
Kumpulan itu memimpin Gaza pada 2007.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.