comscore
Tumpuan :
Dunia

Singapura hukum gantung 3 pengedar dadah dalam seminggu

Foto hiasan

SINGAPURA: Singapura hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki berusia 55 tahun kerana mengedar dadah, menurut agensi penguatkuasaan narkotik negara itu.

Ia adalah hukuman ketiga yang dijatuhkan dalam tempoh seminggu meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesa supaya tindakan seumpamanya dihentikan.

PBB dan kumpulan hak asasi manusia menegaskan bahawa hukuman mati tidak mempunyai kesan pencegahan yang terbukti serta menyeru supaya ia dihapuskan.

Namun, pihak berkuasa Singapura menjelaskan bahawa hukuman mati membantu menjadikan republik itu salah satu negara yang paling selamat di Asia.
Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) berkata hukuman mati dilaksanakan ke atas Rosman Abdullah, yang disabitkan kesalahan kerana mengedar 57.43 gram heroin.

Di bawah undang-undang dadah yang ketat di negara itu, hukuman mati dikenakan untuk jumlah lebih daripada 15 gram.

Hukuman mati itu dilaksanakan di Penjara Changi diikuti hukuman sama dihadapi dua lelaki pada 15 November – seorang rakyat Malaysia berusia 39 tahun dan seorang rakyat Singapura berusia 53 tahun – juga kerana mengedar dadah.

“Rosman sudah melalui proses undang-undang sepenuhnya dan diwakili oleh peguam sepanjang proses berkenaan,” kata CNB dalam satu kenyataan.

Warganegara Singapura itu, yang pertama kali dijatuhkan hukuman pada Julai 2010, telah kehabisan rayuannya, termasuk rayuan untuk pengampunan daripada presiden.

Hukuman gantungnya adalah yang kelapan tahun ini di negara kota tersebut, tujuh daripadanya untuk kes penyeludupan dadah dan satu untuk pembunuhan.

Untuk rekod, Singapura telah menggantung 24 psalah sejak ia menyambung semula pelaksanaan hukuman mati pada Mac 2022, selepas penangguhan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, PBB pada Khamis mengulangi seruannya supaya Singapura mengkaji semula pendiriannya terhadap hukuman mati.

“Penggunaan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah adalah tidak selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Terdapat bukti yang semakin banyak menunjukkan ketidakberkesanan hukuman mati sebagai pencegah,” kata jurucakap Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani, dalam satu kenyataan.

Namun, CNB menyatakan bahawa hukuman mati ‘dikenakan hanya untuk jenayah yang paling serius, seperti penyeludupan dadah dalam kuantiti besar yang mendatangkan kemudaratan sangat serius’ kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini