SINGAPURA: Singapura yang kini mengalami cuaca panas terik, hujan lebat dan peningkatan paras laut akan berdepan cuaca yang lebih buruk jika perubahan iklim semakin teruk. Demikian menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Iklim Singapura pada Jumaat.
Lapor agensi berita Xinhua, Kajian Ketiga Perubahan Iklim Kebangsaan Singapura menunjukkan bahawa republik itu dijangka menjadi lebih panas dengan purata suhu tahunan meningkat kepada 0.55 darjah Celsius setiap dekad menjelang akhir abad ini di bawah senario pelepasan tinggi.
Mengikut laporan itu lagi, purata suhu tahunan Singapura meningkat pada kadar 0.24 darjah Celsius setiap dekad dalam tempoh 40 tahun lepas.
Mengambil kira hujan yang sentiasa berubah-ubah pada skala bermusim, laporan itu memberi amaran bahawa hujan akan menjadi semakin tidak seimbang akibat perubahan iklim yang teruk.
Menyifatkan kenaikan paras laut sebagai cabaran utama bagi Singapura di tengah-tengah perubahan iklim, laporan itu menyebut bahawa purata paras laut di sekitar negara itu diunjurkan meningkat sebanyak 0.23 hingga 1.15 meter menjelang akhir abad dan sehingga sekitar dua meter menjelang 2150.
Pihak berkuasa Singapura berkata ia akan berkongsi data laporan itu dengan anggota ASEAN dan menggalakkan perkongsian data dengan entiti antarabangsa dan komuniti saintifik secara lebih meluas untuk melaksanakan penyelidikan bersama.
Singapura memberi jaminan akan sentiasa komited ke arah mencapai sifar bersih menjelang 2050 bagi menangani perubahan iklim. – BERNAMA-XINHUA