SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura, MDDI membentangkan pindaan rang undang-undang bagi melarang penggunaan ‘deepfake’ atau sebarang bentuk kandungan manipulasi secara digital sewaktu kempen pilihan raya akan datang.
Jika diluluskan, pindaan terhadap Rang Undang-Undang Integriti Pengiklanan Dalam Talian itu akan mewujudkan perlindungan khas terhadap mana-mana individu yang menjadi mangsa manipulasi kandungan kempen sewaktu pilihan raya.
Pilihan raya umum Singapura seterusnya perlu diadakan sebelum November 2025.
Menurut jurucakap MDDI, rang undang-undang terbabit turut menggariskan tempoh kuat kuasa larangan berkenaan iaitu dari tempoh writ pilihan raya dikeluarkan sehingga tempoh pengundian ditutup.
Selain itu, larangan berkenaan hanya boleh digunakan ke atas kandungan ditujukan ke atas individu yang bertanding pada sesuatu pilihan raya sahaja dan tidak terpakai terhadap orang awam.
Jika didapati bersalah, penyedia platform media sosial yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan bakal berdepan denda sehingga 1 juta dolar Singapura.
Sementara bagi pesalah individu pula bakal berdepan denda sehingga 1,000 dolar Singapura atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Awal tahun ini, Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong memberi amaran terhadap kewujudan video palsu yang memaparkan ‘deepfake’ wajah beliau memberi ulasan terhadap hubungan antarabangsa dan hubungan bersama beberapa pemimpin luar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.