DUBLIN: Penyanyi dan aktivis terkenal kelahiran Ireland, Sinead O’Connor meninggal dunia pada usia 56 tahun.
Berita pemergian penyanyi itu diumumkan ahli keluarganya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, ahli keluarganya dan rakan-rakan amat bersedih dan meminta tidak diganggu ketika ini.
Sinead mula menempa nama dalam carta muzik global pada era 90-an.
Beliau paling dikenali menerusi lagu ‘Nothing Compares 2 U’ yang ditulis oleh Prince yang berjaya menembusi carta utama dunia, sekali gus dinobatkan single nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.
Selain itu, Sinead juga terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak asasi manusia.
Sinead memeluk Islam pada 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada’ Sadaqat, namun meneruskan persembahan menggunakan nama kelahirannya.
Sebelum ini Sinead dimasukkan ke hospital, seminggu selepas anak lelakinya meninggal dunia pada awal 2022.