JAKARTA: Mesyuarat Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 diadakan di sini pada Isnin, dengan penekanan pada perpaduan dan keterangkuman ASEAN, lapor Xinhua.
“Kita semua sedar banyak keadaan sukar di rantau ini. Tetapi kita tidak boleh membiarkannya menjejaskan kerja keras kita dalam Sidang Kemuncak,” kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dalam ucapan perasmiannya, sambil menambah bahawa ASEAN terus menerajui dalam membentuk dinamik serantau dan memastikan keamanan dan keterangkuman di rantau ini.
Menurut Retno, kerjasama Sekretariat antara ASEAN dan Persatuan Lingkaran Lautan Hindi, serta Forum Kepulauan Pasifik, akan diwujudkan pada Isnin, menunjukkan keupayaan persidangan ASEAN serta penerimaan yang luas terhadap norma dan nilai ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang kemuncak berkaitan dijadual diadakan di Jakarta dari Selasa hingga Khamis, dengan Indonesia memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun ini.
Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-26, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18, dan beberapa sidang kemuncak lain turut disenaraikan dalam agenda.
Kumpulan ASEAN terdiri dari negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA-XINHUA