BUERGENSTOCK: Lebih 90 pemimpin dunia yang berhimpun di Sidang Kemuncak Ukraine di Alpine, Switzerland bagi mencapai konsensus lebih luas terhadap cadangan kedamaian di negara itu.
Bagaimanapun, ia tidak diserta Rusia dan sekutu utamanya China.
Rusia menyifatkan acara itu sebagai ‘buang masa’.
Sementara ketiadaan China, memalapkan lagi harapan sidang kemuncak itu untuk memencilkan Rusia pada peringkat global.
Rundingan pada sidang kemuncak itu dijangka memberi tumpuan kepada kesan peperangan secara umum terutama keselamatan makanan dan nuklear.
Deraf pengisytiharan sidang kemuncak akhir, menyifatkan perang Rusia di Ukraine mengakibatkan kemusnahan dan penderitaan skala besar, selain menggesa integriti wilayah Ukraine dihormati.
Dokumen itu juga mahu Kyiv menguasai semula loji kuasa nuklear Zaporizhzhia dan akses ke pelabuhan lautnya.
Bagaimanapun, kebanyakan negara menganggap ketiadaan Rusia pada sidang kemuncak berkenaan sebagai satu kekangan besar dalam mencapai sebarang keputusan.
Melalui sesi itu, Turkiye dan Arab Saudi mengesyorkan satu lagi acara seumpama itu dan menawarkan diri sebagai tuan rumah, dengan memastikan penyertaan Rusia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.