comscore
Tumpuan :
Dunia

Shigeru Ishiba dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun baharu

Presiden LDP, Shigeru Ishiba dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu, menggantikan Fumio Kishida pada Selasa.- Foto: Reuters

TOKYO: Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Shigeru Ishiba dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu oleh parlimen pada Selasa.

Ishiba, 67 tahun memenangi persaingan sengit minggu lalu untuk mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP). Pemilihan itu bertujuan memulihkan keyakinan pengundi yang terjejas akibat skandal dana rahsia terkait dengan kepimpinan LDP sebelum ini.

Barisan kabinet baharu di bawah kepimpinan Ishiba, yang menggantikan Fumio Kishida, dijangka diumumkan kemudian hari ini.

Dalam arena politik Jepun, Ishiba dilihat sebagai orang ‘asing’ dalam partinya setelah gagal dalam empat percubaan untuk menerajui kepimpinan parti.

Pemilihannya sebagai Perdana Menteri itu dibuat sebelum pilihan raya umum pada 27 Oktober susulan memenangi pemilihan LDP, yang merupakan parti pemerintah.

Dalam sistem politik Jepun, Perdana Menteri dipilih berdasarkan pemimpin parti majoriti di parlimen.

Pilihan raya umum yang akan datang adalah penting bagi Jepun untuk menentukan sama ada LDP dan Ishiba boleh mengekalkan kuasa atau sebaliknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini