comscore
Tumpuan :
Dunia

Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed dilantik Putera Mahkota Abu Dhabi baharu

ABU DHABI: Presiden Emiriah Arab Bersatu, UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed mengumumkan rombakan terbaharu dalam barisan kepimpinan tertinggi negara berkenaan.

Menurut media tempatan, rombakan terbabit menyaksikan putera sulung presiden, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed dilantik selaku Putera Mahkota Abu Dhabi yang baharu.

Pengumuman terbabit sekali gus menyaksikan Sheikh Khaled kini adalah calon utama dalam mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi kerajaan selepas ini.

Gelaran Putera Mahkota Abu Dhabi secara tradisionalnya dalam sistem pemerintahan monarki UAE adalah calon utama presiden negara berkenaan.

Dalam pada itu, pemilik kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan turut dinamakan selaku Naib Presiden UAE dalam rombakan berkenaan.

Sheikh Mansour, 52 tahun kini akan bersama-sama pemerintah Dubai yang juga Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum memegang jawatan selaku naib presiden itu. – REUTERS

Loading...
Terkini