Tumpuan :
Dunia

Setiausaha Agung PBB dilarang masuk ke Israel

Larangan itu atas dakwaan Guterres gagal mengecam serangan peluru berpandun Iran ke Israel.- Foto: Reuters

JERUSALEM: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dilarang memasuki negara haram itu atas dakwaan gagal mengecam serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel secara tegas.

Menteri Luar Israel, Israel Katz pada Rabu berkata kegagalan Guterres untuk mengecam Iran secara jelas menjadikannya sebagai individu ‘persona non grata’ di Israel.

Bagaimanapun, Guterres sebelum ini mengeluarkan kenyataan ringkas yang hanya merujuk kepada serangan terbaru di Timur Tengah tanpa menyebut secara khusus serangan yang berlaku di Iran.

Iran melancarkan lebih daripada 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada Selasa, di tengah-tengah peningkatan konflik antara Hezbollah di selatan Lubnan.

Dalam pada itu, Katz menegaskan bahawa Israel akan terus mempertahankan rakyatnya dan maruah rejim Zionis, sama ada dengan atau tanpa sokongan Guterres.

Sehingga kini,serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria, menurut jurucakap PBB pada Selasa.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dijangka meningkat berikutan tentera Israel terus mengeluarkan arahan memaksa orang ramai berpindah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini