comscore
Tumpuan :
Dunia

Setahun perang Gaza: Isu Palestin adalah isu semua umat Islam – Pakar

Foto fail Reuters

PETALING JAYA: Setahun sejak perang antara kumpulan pejuang Hamas dan Israel menyaksikan lebih 40,000 nyawa rakyat Palestin terkorban, puluhan ribu yang lain cedera dan dianggarkan hampir 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan kediaman mereka.

Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Abdel Rahman Ibrahim, yang juga warga Palestin, mengingatkan masyarakat antarabangsa tentang kepentingan untuk bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Sejak setahun lalu, kita dapat melihat kekejaman yang dilakukan oleh Zionis dan rejim Tel Aviv. Bilangan yang terkorban melebihi 40,000, manakala lebih 100,000 individu masih hilang dan diyakini terkorban.

“Kalau kita fikir juga ada hampir 80 syahid daripada (golongan) wartawan, dan pekerja perubatan. Golongan ini sepatutnya dilindungi oleh perundangan antarabangsa, tetapi rejim Zionis dia tidak kisah pasal ini. Dia bunuh semua.

“Ini menunjukkan kepada kita bagaimana dunia ada sikap ‘double standard’ kerana bila perihal Gaza semua (masyarakat antarabangsa) senyap, tapi bila perang Ukraine semua mula bercakap,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Menurut Abdel Rahman, sepanjang tempoh setahun ini, kehidupan rakyat Gaza semakin terjejas hingga tiada tempat tinggal dan keperluan asas yang mendesak.

“Setahun ini, 90 peratus orang Gaza hilang tempat tinggal, duduk dalam khemah, ada yang duduk di tepi jalan. Setahun ini juga bekalan air bersih tiada, yang cedera dan golongan tua tidak boleh dapat rawatan.

“Kecuali kita nampak Qatar, dan Malaysia ada ambil sebahagian rakyat Palestin untuk dapatkan rawatan. Ini yang kita nampak setahun yang sangat pahit untuk Gaza. Mana dunia yang cakap pasal hak asasi manusia? mana dunia yang cakap pasal hak asasi wanita?,” soalnya.

Abdel Rahman turut menyatakan harapannya agar dunia tidak melupakan isu Palestin kerana ia adalah isu asas umat Islam dan Dunia Arab.

Katanya, rakyat Palestin tidak meminta senjata, sebaliknya memohon dunia memberikan perhatian dan sokongan sepenuhnya.

“Palestin adalah isu semua orang Islam, semua orang Arab dan mereka perlu ingat perang ini adalah perang kita (umat Islam dan dunia Arab) kerana Palestin adalah tanah wakaf untuk orang Islam. Kita tak minta senjata, kerana ada macam-macam dakwaan yang katakan takboleh bawa masuk senjata, kami faham. Tapi paling kurang bawa la masuk makanan, minuman, ubatan dan keperluan untuk rakyat Palestin.

Abdel Rahman berkata, meskipun nilai kemerdekaan Palestin adalah tinggi, namun menyifatkan pengorbanan itu tidak tidak sia-sia.

“Palestin akan terus berjuang sehingga akhir hayat kami, atau hingga akhir mereka (Israel),” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini