BRASILIA: Sesi persekolahan baharu untuk lebih 2,000 sekolah di selatan Brazil ditangguhkan susulan ancaman gelombang haba yang mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
Mahkamah Keadilan Negeri Rio Grande do Sul memerintahkan agar kelas dibatalkan di 2,320 sekolah rangkaian negeri itu pada Isnin ini.
Sekretariat Pendidikan berkata, permulaan tahun persekolahan ditunda seminggu atas permintaan kesatuan guru yang memfailkan aduan mengenai kekurangan pengudaraan dan sumber air yang mencukupi untuk pelajar.
Sekretariat itu dalam satu kenyataan berkata penangguhan operasi sekolah itu menjejaskan kira-kira 700,000 pelajar. Namun, kesatuan guru memuji keputusan itu sebagai kemenangan asas untuk keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah.
Bagaimanapun, sekretariat itu berkata, kerajaan negeri merayu keputusan tersebut dan berharap pelajar dapat kembali ke sekolah sebelum 17 Februari.
Institut Meteorologi Kebangsaan Brazil mengeluarkan amaran merah untuk beberapa bahagian di negeri itu.
Brazil dilanda pelbagai fenomena cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dari banjir hingga kemarau dan kebakaran teruk yang menurut pakar diburukkan lagi oleh perubahan iklim. -REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.