Tumpuan :
Dunia

Serangan udara terbaharu di Gaza korbankan 12 rakyat Palestin

FOTO: REUTERS

BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, terbunuh pada Jumaat dalam satu siri serangan udara Israel di seluruh Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sumber perubatan di Hopsital Baptist di sini melaporkan, serangan udara Israel menyasarkan kediaman keluarga Hamadeh, mengorbankan sembilan rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak dan beberapa wanita. Beberapa lagi mangsa, termasuk bayi, turut cedera dalam serangan itu.

Saksi melihat tembakan artileri mengenai kawasan barat Kem Pelarian Jabalia dan Bandar Beit Lahia, manakala tentera Israel memperhebatkan serangan ke kawasan kediaman di utara Gaza, dengan letupan dan asap dapat dilihat dari Bandaraya Gaza.

Di tengah Gaza, petugas perubatan Palestin mengesahkan berlaku kecederaan ekoran serangan udara di sebuah kediaman di kawasan Abu Maala utara Kem Pelarian Nuseirat.

Sementara itu, serangan tentera laut Israel ke atas pondok nelayan di pantai Rafah mengorbankan seorang nelayan dan mencederakan tiga lagi, menurut sumber perubatan di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis.

Selain itu, dua rakyat Palestin terkorban dan beberapa lagi cedera di Khan Younis apabila jet pejuang Israel menyerang kediaman keluarga Omran di kawasan kejiranan al-Tahliya.

Serangan dahsyat Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas mengorbankan hampir 43,500 mangsa dan menyebabkan wilayah itu hampir tidak dapat dihuni.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan mereka di wilayah yang dikepungnya itu. — BERNAMA-Anadolu

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini