Tumpuan :
Dunia

Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin di kem Nuseirat di tengah Gaza

Orang ramai memeriksa zon itu berikutan serangan Israel di pejabat pos yang digunakan sebagai tempat perlindungan di Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza semalam. – Foto: Reuters

GAZA: Sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh, dengan beberapa daripadanya adalah kanak-kanak, dalam serangan udara Israel ke atas rumah-rumah di kem Nuseirat di bahagian tengah Semenanjung Gaza, kata pakar perubatan kepada Reuters pada Khamis (12 Disember).

Tiada tanda-tanda akan reda dalam konflik yang telah berlarutan lebih 14 bulan, dan serangan itu menyasarkan kemudahan di kem Nuseirat di mana keluarga pelarian telah mencari perlindungan selain meranapkan beberapa buah rumah berdekatan, kata pegawai perubatan.

Tentera Israel bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan media.

Nuseirat adalah salah satu daripada lapan kem bersejarah di Semenanjung Gaza yang asalnya untuk pelarian Palestin sejak dari perang 1948, sekitar penubuhan negara haram Israel. Hari ini, ia adalah sebahagian daripada kawasan bandar padat yang sesak dengan orang yang berpindah dari seluruh semenanjung Gaza.

Semalam, dua serangan Israel di selatan Gaza mengorbankan 13 rakyat Palestin yang dikatakan oleh pegawai perubatan Gaza dan Hamas sebagai sebahagian daripada pasukan yang melindungi trak bantuan kemanusiaan.

Tentera Israel pula berkata mereka adalah pejuang Hamas yang cuba merampas penghantaran bantuan itu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini