GAZA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang juga tempat perlindungan di Kem Nuseirat, Gaza.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, serangan turut mencederakan lebih 18 orang.
Serangan berlaku ketika orang ramai sedang menunggu makanan di Sekolah Al-Jaouni yang dikendalikan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Tentera rejim seperti kebiasaan dalam kenyataannya berkata tenteranya menyasarkan pusat arahan pejuang Hamas.
Tanpa memberikan bukti, mereka berkata kawasan itu digunakan untuk merancang dan melakukan serangan terhadap tentera israel di Gaza.
Sekolah itu adalah lokasi keenam yang menjadi sasaran serangan udara Israel sejak awal bulan lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangya 64 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam dengan lebih 104 orang cedera.
SUMBER AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.