Tumpuan :
Dunia

Serangan udara, darat kembali memuncak di Khartoum

Pejuang Pasukan Tindakan Pantas (RSF) berdiri dekat pangkalan Pasukan Pertahanan Udara di Khartoum, Sudan, yang musnah dalam peperangan. – FOTO : REUTERS

KHARTOUM : Serangan udara baharu meletus di ibu negara Sudan, Khartoum dan bandar berdekatan, Bahri ketika pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF) memasuki minggu kelima.

Serangan itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan bagi orang awam yang terperangkap dan kehilangan tempat tinggal.

Penjarahan besar-besaran oleh pasukan bersenjata dan orang awam menjadikan hidup lebih sengsara bagi penduduk Khartoum yang terperangkap dalam pertempuran sengit antara tentera dan RSF.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, konflik itu menyebabkan kira-kira 843,000 orang kehilangan tempat tinggal di Sudan dan 250,000 penduduk terpaksa melarikan diri ke negara jiran.

Panglima Tentera Darat Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, semalam memecat ketua RSF, Mohamed Hamdan Dagalo, lebih dikenali sebagai Hemedti, sebagai timbalannya di Majlis Berdaulat.

Setakat ini,  rundingan gencatan senjata yang ditaja oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) di Jeddah tiada perkembangan positif.

Pada mesyuarat Liga Arab, semalam, wakil tentera Sudan, Dafallah al-Haj,  menuduh RSF merompak dan merogol, dan melanggar gencatan senjata secara berterusan.

Kepulan asap susulan pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF) memasuki minggu kelima. – FOTO : Reuters

“Kami percaya anda akan memihak kepada tentera Sudan dan bersama kami dalam langkah pembinaan semula seterusnya,” katanya.

RSF bagaimanapun menuduh tentera memulakan konflik dan melanggar gencatan senjata serta mendakwa tentera melakukan jenayah dengan memakai seragam RSF yang dicuri.

Pertempuran tercetus 15 April lalu selepas pertikaian mengenai rancangan mengintegrasikan RSF ke dalam tentera dan rantaian perintah masa depan di bawah perjanjian yang disokong pihak antarabangsa untuk membawa Sudan ke arah demokrasi.

Sementara itu, serangan udara semalam menyasarkan daerah di timur Khartoum dan saksi melaporkan mendengar bunyi tembakan senjata anti-pesawat yang digunakan oleh RSF.

Bahri dan Sharg el-Nil turut menjadi sasaran serangan udara pada Khamis dan pagi Jumaat, dengan seorang saksi, Ahmed, yang sedang melalui Bahri, berkata dia melihat kira-kira 30 trak tentera musnah akibat serangan.

“Terdapat mayat di mana-mana, sebahagian daripadanya tentera dan beberapa RSF. Ada yang sudah mula reput. Ia benar-benar mengerikan,” katanya.

Saksi berkata tentera juga mula meletakkan penghadang di beberapa jalan di selatan Khartoum untuk menjauhkan RSF dari pangkalan tentera penting di sana.

Pertempuran juga berlaku di bandar Nyala, ibu kota wilayah Darfur Selatan di barat daya, untuk hari kedua selepas beberapa minggu yang agak tenang.

Tembakan senjata berat dan letupan artileri berlaku sepanjang hari di Nyala.

Menurut aktivis tempatan, sebuah pasar tempatan terbakar dan sukar bagi mangsa yang cedera untuk pergi ke hospital.

Persatuan Peguam Darfur, sebuah kumpulan hak asasi manusia, berkata 27 orang terbunuh dan puluhan lain cedera setakat ini.

Serangan tentera dan pertempuran di bandar Geneina di Darfur Barat pula meragut ratusan nyawa. – REUTERS

Loading...
Terkini