WASHINGTON: Aplikasi video pendek TikTok mengambil langkah menghentikan serangan siber yang menyasarkan beberapa akaun jenama dan selebriti, termasuk rangkaian berita CNN.
“Kami bekerjasama rapat dengan CNN untuk memulihkan akses akaun dan melaksanakan langkah keselamatan yang dipertingkatkan untuk melindungi akaun mereka pada masa hadapan,” kata jurucakap syarikat itu semalam.
TikTok berkata, bilangan akaun yang terjejas adalah ‘sangat kecil’ dan ia bekerjasama dengan pemilik akaun berkenaan untuk memulihkan akses jika perlu.
Sumber di TikTok memberitahu Reuters bahawa akaun bintang realiti televisyen, Paris Hilton, disasarkan tetapi tidak digodam.
Syarikat induk TikTok, ByteDance, kini mencabar undang-undang di mahkamah yang memerlukannya menjual TikTok menjelang Januari depan atau aplikasinya dilarang di Amerika Syarikat (AS).
Rumah Putih berkata, ia mahu melihat pemilikan TikTok yang berasaskan China ditamatkan atas alasan keselamatan negara.
TikTok berhujah ia tidak akan berkongsi data pengguna AS dengan kerajaan China dan ia telah mengambil langkah besar untuk melindungi kerahsiaan penggunanya. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.