comscore
Tumpuan :
Dunia

Serangan pepijat meningkat di Perancis, 7 sekolah terpaksa ditutup

Foto Reuters

PARIS: Tujuh buah sekolah di Perancis terpaksa ditutup berikutan kebimbangan yang semakin meningkat akan masalah pembiakan dan serangan pepijat.

Masalah ini jelas membuka mata kerajaan Perancis memandangkan ketika ini negara itu sedang menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi dan sedang membuat persiapan untuk penganjuran temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Minggu ini sahaja, Kerajaan Perancis sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi meneliti lonjakan kes serangan pepijat.

“Pepijat telah dikesan pada pelbagai peringkat… saya percaya membabitkan 17 institusi dan ketika ini, tujuh institusi ditutup atas sebab ini,” kata Menteri Pendidikan, Gabriel Attal kepada saluran televisyen France 5, semalam.

Sebelum ini, lima sekolah dengan sejumlah 1,500 pelajar telah ditutup.

Pada awal minggu ini, pihak berkuasa mengumumkan dua lagi sekolah membabitkan masing-masing sebuah di Marseille dan Villefranche-sur-Saone di luar Lyon, tenggara Perancis, ditutup bagi pelaksanaan kerja pembersihan.

“Kita mempunyai hampir 60,000 institusi dan kita bercakap mengenai beberapa puluh saja di sini, namun memang benar bahawa kes semakin meningkat. Tindak balas segera diperlukan supaya kami boleh memastikan institusi berkenaan dibersihkan dalam tempoh 24 jam,” kata Attal.

Beliau berkata, satu senarai ‘syarikat yang diluluskan serta diiktiraf’ sudah disediakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan agensi kesihatan wilayah, supaya ‘pemimpin sekolah boleh menghubungi serta meminta mereka campur tangan membantu dengan segera.’

Sebuah perpustakaan perbandaran di bandar Amiens dijadualkan dibuka semula, hari ini, selepas ditutup selama beberapa hari berikutan pepijat dikesan menyerang ruang bacaan awam, kata Datuk Bandar, Brigitte Foure, kepada AFP.

Satu per 10 daripada seluruh isi rumah Perancis dipercayai mengalami masalah serangan pepijat sejak beberapa tahun lalu, dengan lazimnya memerlukan bantuan khidmat operasi kawalan serangga perosak yang menelan kos hingga mencecah beberapa ratus euro dan biasanya ia perlu diulangi.

Sebelum ini, serangga penghisap darah itu turut dikesan di metro Paris, kereta api berkelajuan tinggi dan Lapangan Terbang Charles De Gaulle di Paris.

Namun setakat ini, tiada kes individu disahkan oleh pihak berkuasa, malah RMC TV melaporkan siasatan oleh pengendali pengangkutan Paris, RATP tidak menemukan serangan pepijat terhadap perkhidmatannya. – agensi

Loading...
Terkini