Tumpuan :
Dunia

Serangan letupan peranti, rakyat Australia dilarang ke Lubnan

FOTO: Reuters

CANBERRA: Kerajaan Australia mengulangi amaran kepada rakyatnya agar tidak ke Lubnan berikutan letupan peranti komunikasi.

Bendahari Jim Chalmers dan Menteri Luar Penny Wong berkata, kerajaan negara itu amat bimbang kemungkinan peningkatan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Justeru Chalmers memberi amaran dan peringatan kepada rakyat Australia untuk tidak melakukan perjalanan ke Lubnan masa terdekat.

Amaran beliau dikeluarkan selepas sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera apabila alat kelui dan radio mudah alih meletup di Lubnan pada Selasa dan Rabu.

Bercakap di radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Wong menyeru semua rakyat Australia di Lubnan meninggalkan negara itu dengan segera susulan peningkatan konflik serantau yang kian meruncing.

Perkhidmatan Smartraveller kerajaan mengemas kini nasihat perjalanannya untuk Lubnan pada Rabu, menggalakkan warga Australia di negara itu agar meninggalkan negara itu serta-merta sementara penerbangan komersial masih tersedia.

Ia memberi amaran bahawa keadaan keselamatan di negara itu boleh merosot atau tiada notis dikeluarkan dan lapangan terbang Beirut boleh ditutup.

Australia menguar-uarkan kempen “jangan melancong” ke Lubnan sejak Oktober 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini