Tumpuan :
Dunia

Serangan letupan alat komunikasi di Lubnan ‘Jenayah Perang’ – PBB

FOTO: Reuters

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan serangan letupan alat komunikasi di Lubnan adalah jenayah perang.

Ia kerana tindakan itu adalah keganasan yang mengakibatkan orang awam menjadi mangsa.

Diplomat tertinggi di Beirut mendakwa Israel mendalangi perbuatan itu, yang disifatkan sebagai serangan ‘pengganas’.

Letupan yang meragut 37 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 pada Selasa dan Rabu itu menyasarkan peranti komunikasi yang digunakan oleh pejuang Hizbullah yang disokong Iran.

FOTO: Reuters

Alat kelui dan ‘walkie-talkie’ meletup ketika pengguna mereka membeli-belah di pasar raya, berjalan di jalanan dan menghadiri pengebumian, menyebabkan seluruh negara diselubungi keadaan panik.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk memaklumkan, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) ketika sesi tergempar di Lubnan berkata, perbuatan itu bertujuan mencetus ketakutan orang awam.

Sementara itu, Hizbullah berikrar akan membalas tindakan itu dan melancarkan siasatan dalaman sendiri ke atas tragedi berkenaan.

Bercakap di UNSC, diplomat tertinggi Lubnan, Abdallah Bou Habib, menyebut serangan itu sebagai ‘kaedah peperangan yang tahap kekejaman dan keganasannya belum pernah terjadi sebelum ini’.

Rentetan keganasan yang berlarutan, Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata badan itu ‘amat bimbang mengenai keganasan yang kian meningkat’ merentasi sempadan Lubnan-Israel selepas serangan Israel ke atas Beirut pada Jumaat.

Justeru, beliau menggesa semua pihak memberi kesungguhan maksimum bagi mengelakkan krisis lebih besar di Asia Barat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini