GAZA: Serangan udara Israel di Kem Pelarian al-Bureij dan Jabalia di tengah dan utara Gaza meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa rakyat Palestin pada Rabu, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Tentera Israel tidak memberi komen segera walaupun dalam satu pos di lamanX, Jurucakap rejim memberi amaran kepada penduduk al-Bureij untuk mengosongkan kawasan tersebut sebelum serangan dilakukan.
Rejm mengesahkan semalam, mereka telah membunuh Abd al-Hadi Sabah, seorang Pejuang Hamas yang turut terlibat dalam serangan ke atas Kibbutz Nir Oz pada serangan 7 Oktober 2023 yang dilancarkan oleh kumpulan itu di selatan Israel.
Arahan untuk mengosongkan kem al-Bureij telah menyebabkan satu lagi gelombang pemindahan, walaupun belum jelas berapa ramai yang terjejas.
Rejim Israel menyatakan bahawa kempen mereka yang sudah hampir tiga bulan di Gaza utara bertujuan untuk menghalang Pejuang Hamas daripada berkumpul semula.
Arahan kepada orang awam untuk mengosongkan kawasan dikatakan bertujuan untuk menjaga keselamatan mereka, kata pengganas Israel.
Namun, pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB berulang kali berkata, tiada tempat yang selamat di Gaza dan pemindahan tersebut memburukkan keadaan kemanusiaan penduduk.
Menurut pihak Pertahanan Awam Palestin, lebih daripada 1,500 khemah yang menempatkan orang yang dipindahkan di seluruh Gaza telah dinaiki air akibat hujan lebat dalam dua hari lalu, menyebabkan orang ramai terdedah kepada kesejukan dan barang-barang mereka rosak.
Ratusan khemah lagi mengalami banjir yang kurang teruk tetapi tetap menyebabkan penduduk tidak dapat menghuninya.
Kebanyakan kawasan di sekitar bandar utara Beit Hanoun, Jabalia, dan Beit Lahiya telah dikosongkan dan dimusnahkan, menyebabkan spekulasi bahawa Israel bercadang menjadikan kawasan itu sebagai zon penampan yang tertutup selepas pertempuran di Gaza berakhir.
WAFA melaporkan bahawa tentera Israel meletupkan blok kediaman di Beit Lahiya dan sekitar Jabalia, sementara kereta kebal melepaskan tembakan di kawasan Gaza City dan kem al-Bureij.
Kempen pembunuhan Israel telah meragut lebih 45,500 nyawa rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas.
Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipindahkan dan kebanyakan kawasan pantai yang kecil itu musnah. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.