WASHINGTON: Perwakilan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu meminta satu mesyuarat Majlis Keselamatan berikutan serangan udara Iran ke atas Israel.
“Saya mengesahkan permintaan Israel untuk mengadakan satu mesyuarat Majlis Keselamatan dengan segera untuk mengutuk Iran di atas serangan itu dan menamakan Pengawal Revolusi Iran sebagai pertubuhan pengganas,” kata Dutanya Gilad Erdan dalam hantaran di laman X,lapor Agensi Anadolu.
Serangan Iran merupakan satu “serangan serius” kepada keamanan dan keselamatan global, katanya dan berharap Majlis Keselamatan akan menggunakan segala pendekatan untuk mengambil tindakan yang konkrit terhadap Iran.
Beliau berkata Iran melancarkan serangan terus dari wilayahnya dengan lebih daripada 200 dron, peluru berpandu dan misil balistik ke atas Israel, yang jelas melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Iran juga secara umum berbangga dengan serangan itu. Peningkatan serangan itu adalah serius dan berbahaya,” katanya.
Perwakilan Tetap Malta di PBB yang juga Presiden Majlis Keselamatan untuk April berkata mereka dijangka mengadakan mesyuarat itu pada pukul 4 petang Ahad waktu tempatan.
Iran memulakan serangan udara ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan udara pada 1 April ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh staf Kor Pengawal Revolusi Iran termasuk dua jeneral utama.
Tehran mendakwa Israel melakukan serangan itu dan berikrar akan bertindak balas. Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi tetapi ia telah berbulan-bulan melakukan beberapa serangan yang menyasarkan kepentingan Iran di seluruh Syria.
Iran dan sekutu rapatnya di Lubnan, Hizbollah sebelum ini berkata mereka tidak akan berdiam diri terhadap serangan itu.– BERNAMA-ANADOLU
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.