GAZA: Israel melancarkan serangan darat, udara dan laut secara serentak di Gaza.
Kereta kebal Israel memasuki beberapa kawasan perumahan di sempadan selatan Gaza yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 1.5 juta penduduk.
Pasukan pertahanan Israel (IDF) turut mengepung utara Rafah selepas beberapa serangan sengit yang didakwa menyasarkan kubu dan terowong digunakan pejuang Hamas.
Sekutu antarabangsa dan kumpulan bantuan kemanusiaan di Israel berulang kali memberi amaran terhadap pencerobohan darat di Rafah, di mana ramai rakyat Palestin melarikan diri dan terbiar tanpa perlindungan.
Israel bagaimanapun mendakwa empat batalion Hamas masih bersembunyi di Rafah dan menegaskan serangan itu terpaksa dilakukan.
Dalam pada itu, tentera rejim turut melancarkan serangan ke atas Kem Pelarian Nuseirat di wilayah tengah Gaza
Serangan mengakibatkan puluhan terbunuh termasuk kanak-kanak.
Di wilayah utara pula, tentera rejim mengerahkan kereta kebal, jentolak dan jentera kelengkapan lain mengepung zon evakuasi dan pusat perlindungan di Jabalia.
Perang Israel-Palestin sejak 7 Oktober lalu telah meragut lebih 35,000 nyawa dengan 56 peratus daripada jumlah itu adalah wanita dan kanak-kanak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.