KHARKIV: Sebuah serangan bom panduan oleh Rusia ke atas bangunan pangsapuri di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, telah meragut nyawa seorang kanak-kanak dan mencederakan 29 orang.
Perkara itu disahkan Gabenor Wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov di aplikasi Telegram.
Rakaman video menunjukkan pasukan bomba sedang memadam kebakaran berhampiran bangunan tersebut, dengan bahagian sembilan tingkat struktur tersebut runtuh menjadi serpihan.
Imej yang dirakam Reuters menunjukkan sebuah kereta terbalik di hadapan bangunan yang rosak teruk, sementara pekerja kecemasan sedang menilai keadaan lokasi serangan.
Syniehubov melaporkan bahawa impak serangan ini mencetuskan kebakaran dan memusnahkan sebahagian besar daripada salah satu pintu masuk bangunan tersebut.
Kharkiv, yang kekal di bawah kawalan Ukraine sejak percubaan serangan awal Rusia pada ibu negara Kyiv pada Februari 2022, kini terus menjadi sasaran serangan udara berterusan Rusia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.