Tumpuan :
Dunia

Sepanyol pertimbang cukai tinggi terhadap hartanah yang dibeli bukan warga EU

Perdana Menteri Sanchez bagaimanapun tidak memberikan garis masa untuk melaksanakan cukai ini atau 11 dasar berkaitan perumahan lain. – Foto REUTERS

MADRID: Sepanyol mencadangkan pelaksanaan cukai sehingga 100 peratus ke atas pembelian hartanah oleh warga asing yang bukan pemastautin atau bukan dari Kesatuan Eropah (EU).

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan langkah itu bertujuan menangani masalah kekurangan perumahan di negara tersebut.

Menurutnya, dasar itu bertujuan menghalang pembelian hartanah oleh warga asing yang hanya bermotifkan keuntungan, seperti menyewakannya sebagai penginapan percutian jangka pendek.

“Langkah ini memastikan rumah yang tersedia di Sepanyol dimanfaatkan oleh penduduknya sendiri,” kata Sanchez.

Statistik menunjukkan sebanyak 27,000 hartanah telah dibeli oleh bukan warga EU sepanjang tahun 2023, kebanyakannya bukan untuk kediaman tetap tetapi untuk keuntungan komersial.

Bagaimanapun, Sanchez belum memberikan tarikh khusus untuk pelaksanaan cukai terbabit.

Beliau turut menyatakan bahawa cadangan ini masih dalam peringkat kajian bersama 11 inisiatif lain berkaitan perumahan.

Antara inisiatif lain termasuk memberi insentif cukai kepada pemilik yang menawarkan sewaan pada kadar rendah, menaikkan cukai, dan mengetatkan peraturan terhadap penggunaan pangsapuri sebagai tempat penginapan pelancongan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini