Tumpuan :
Dunia

Seorang maut, 7 cedera trak Cybertruck Tesla meletup di luar hotel Trump di Las Vegas

Imej sebuah Cybertruck Tesla terbakar di luar hotel milik Trump di Las Vegas, pada Rabu. FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala tujuh lagi cedera apabila sebuah Cybertruck Tesla meletup di luar hotel milik Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Las Vegas, kata pihak polis semalam.

Kenderaan elektrik itu dilaporkan berhenti di hadapan pintu kaca Trump International Hotel sebelum berlaku letupan besar, kata Sheriff Las Vegas, Kevin McMahill kepada wartawan.

Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum meletup dan terbakar, diikuti oleh letupan kecil yang kelihatan seperti bunga api.

McMahill berkata terdapat seorang mangsa yang meninggal dunia di dalam Cybertruck manakala tujuh lagi mengalami kecederaan ringan.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk menurut satu hantaran di X berkata, letupan itu disebabkan oleh bunga api yang sangat besar atau bom yang dibawa di ruang belakang kenderaan itu.

Katanya kejadian itu tidak ada kaitan dengan kenderaan itu sendiri.

Sebelum itu, Musk menyatakan bahawa seluruh pasukan kanan Tesla sedang menyiasat kejadian itu, sambil berkata belum pernah ada kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini.

Pihak polis memaklumkan mereka masih berusaha untuk mengenal pasti punca letupan terbabit.

Musk turut memberitahu, beliau akan mengeluarkan keterangan lanjut sebaik sahaja pihaknya mendapat maklumat.

Presiden AS, Joe Biden sudah diberi taklimat mengenai letupan berkenaan dan mengarahkan pasukannya untuk menawarkan bantuan Persekutuan jika diperlukan, kata Rumah Putih.

Beliau juga sudah diberi taklimat mengenai serangan langgar lari di New Orleans yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang semalam.

McMahill merujuk kepada serangan itu tetapi tidak mengaitkan kedua-dua kejadian berkenaan secara langsung, dengan menyatakan pihak berkuasa di Las Vegas sedang mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu untuk memastikan keselamatan komuniti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini