VIENNA : Senjata api dan bahan pembuatan senjata bernilai AS$1 bilion (RM4.5 bilion) diimport ke Myanmar
Agensi berita Jerman DPA yang memetik laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB mendedahkan Rusia dan China sebagai pembekal terbesar senjata kepada junta tentera yang merampas kuasa pada awal 2021.
Laporan itu memetik eksport dari Rusia (RM1.8 bilion), diikuti oleh China (RM1.2 bilion), Singapura (RM1.14 bilion), India (RM231 juta) dan Thailand (RM127 juta).
Ia berdasarkan data syarikat dan perdagangan serta ‘maklumat yang sangat dipercayai dan terperinci daripada sumber dirahsiakan atas sebab keselamatan.
Majlis Keselamatan PBB (UNSC) setakat ini belum lagi mengenakan sebarang sekatan antarabangsa untuk menghentikan eksport itu.
Justeru wujud gesaan melaksanakan sekatan senjata sepenuhnya dan sekatan ke atas syarikat minyak dan gas milik kerajaan Myanmar yang dipercayai digunakan untuk membiayai pembelian senjata.
Sejak rampasan kuasa dan penyingkiran pemimpin Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, tentera memerintah Myanmar secara kuku besi.
Penentangan kumpulan bersenjata di kebanyakan wilayah ditangani menerusi tangkapan besar-besaran dan serangan udara. – BERNAMA-dpa