Tumpuan :
Dunia

Semua negara EU wajib laksana waran ICC terhadap Netanyahu, Gallant

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) bersama bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant. FOTO: Reuters

BRUSSELS: Semua negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berada di bawah kewajipan untuk melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh ICC,” kata jurucakap EU Peter Stano kepada Agensi Anadolu (AA) dalam satu kenyataan bertulis pada Khamis, secara khusus menyatakan waran yang dikeluarkan untuk dua pegawai tertinggi Israel dalam perang yang sedang berlangsung di Gaza.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam satu langkah penting minggu lepas, mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza, yang lebih 44,000 orang terbunuh sejak Oktober 2023.

Sebelum dipecat awal bulan ini, Gallant mengetuai tindakan ketenteraan dalam perang yang sedang berlangsung.

Walaupun beberapa negara EU mengumumkan mereka akan melaksanakan waran jika pegawai Israel menjejakkan kaki di wilayah mereka, yang lain kurang jelas, dan satu mengatakan tidak akan ada penangkapan.

Mengambil maklum waran tangkap itu, Stano menulis bahawa EU sangat komited terhadap keadilan jenayah antarabangsa dan perjuangan menentang kekebalan.

Blok itu menyokong ICC dan prinsip yang ditetapkan dalam Statut Rom, yang mengasaskan mahkamah serta “kebebasan dan kesaksamaan mahkamah,” kata Stano.

Mandat ICC adalah “untuk mendakwa jenayah paling serius di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya, menekankan bahawa semua negara anggota EU “yang telah meratifikasi Statut Rom…berada di bawah kewajipan untuk melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh ICC.”

Israel melancarkan perang genosid di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas pada Oktober 2023, sejak itu membunuh hampir 44,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 104,000.

Tahun kedua pembunuhan beramai-ramai di Gaza mendapat kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi melabelkan serangan dan menyekat penghantaran bantuan sebagai percubaan yang disengajakan untuk memusnahkan penduduk.

Israel juga menghadapi kes genosid berasingan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas Gaza.-BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini