Tumpuan :
Dunia

Semakin ramai wanita, kanak-kanak Palestin maut akibat serangan Israel

Foto: Reuters

KAHERAH: Lebih 100 rakyat Palestin di Gaza terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu manakala sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza maut dalam serangan udara Israel, semalaman, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pegawai perubatan melaporkan antara mangsa yang terbunuh adalah lapan sekeluarga di sebuah pangsapuri di kem pelarian Nuseirat dan sekurang-kurangnya 10 termasuk tujuh kanak-kanak di bandar Jabalia.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Gaza khuatir situasi yang dialami seluruh wilayah itu ketika ini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula memberi amaran bahawa 96 peratus wanita dan kanak-kanak di wilayah dilanda perang kini tidak berupaya memperoleh keperluan asas pakaian dan pemakanan mereka apabila musim sejuk tiba.

Justeru, wakil khas Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki pula menyifatkan keputusan Sweden untuk menghentikan pembiayaan untuk agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) sebagai ‘memalukan’.

Sehingga kini, pihak yang mengusahakan gencatan senjata masih belum mencapai persetujuan antara Israel dan Hamas selepas lebih setahun konflik.

Menurut sumber, Qatar dan Mesir sudah berjaya menyelesaikan beberapa perbezaan antara pihak yang bertelagah tetapi isu utama masih terus membantutkan rundingan.

Setakat ini peperangan Israel ke atas Gaza sudah membunuh lebih 45,000 rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 107,512 sejak 7 Oktober 2023.

Kira-kira 1,100 orang terbunuh di Israel semasa serangan pimpinan Hamas dan lebih 200 tebusan diculik.

Media tempatan turut melaporkan tentera Israel meningkatkan serbuan di beberapa lokasi di seluruh Tebing Barat yang diduduki sejak kebelakangan ini, atas alasan memburu saki baki pejuang Hamas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini