Tumpuan :
Dunia

Selepas Trami, Filipina siap siaga hadapi Kong-rey

FOTO: REUTERS

MANILA: Beberapa hari selepas lebih 116 maut dan 39 lagi mangsa masih hilang akibat dilanda Trami, Filipina mengeluarkan amaran cuaca baharu pada Isnin mengenai ribut taufan Kong-rey.

Sehingga kini, hampir sejuta orang masih berlindung di pusat pemindahan atau menumpang di kediaman saudara-mara akibat kehilangan tempat tinggal yang musnah dilanda bencana.

Agensi Cuaca Kebangsaan Filipina menyatakan, Kong-rey akan membawa hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan laut bergelora di bahagian pantai timur.

Kekuatan Kong-rey dijangka meningkat dan melintasi kepulauan kecil di utara Filipina seawal Rabu.

Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun berkata Kong-rey, juga dikenali sebagai Taufan No 21, berada di timur Filipina pada jam 9 pagi Isnin waktu tempatan, dengan kelajuan angin maksimum 126 kilometer sejam (km/j), dan bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 km/j.

Taufan itu dijangka berubah menjadi ribut tropika pada Sabtu di Laut China Timur selepas berpotensi melepasi Taiwan pada Jumaat.

Ia seterusnya dijangka menuju ke timur laut dan menjadi ribut tropika berhampiran pantai timur China pada Sabtu.

Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA) pula meramalkan hujan akan bertambah Rabu Ini ketika Kong-rey mendekati Taiwan, dengan amaran laut bergelora akan dikeluarkan seawal petang esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini