comscore
Tumpuan :
Dunia

Selepas ambulans, rejim Zionis lancar serangan ke lokasi kritikal lain

FOTO: REUTERS

GAZA: Selepas membedil ambulans yang membawa mangsa cedera ke Hospital Al Shifa, rejim Zionis dilihat semakin menjadi-jadi apabila turut mengebom hospital, panel solar, tangki air, masjid dan juga bot nelayan.

Sebelum ini berselindung di sebalik alasan pemburuan anggota Hamas, namun tujuan Israel jelas membuktikan mereka semenangnya mahu penduduk Gaza untuk meninggalkan kediaman mereka.

Lewat malam tadi, tentera Israel bertindak melancarkan serangan ke kawasan kejiranan sekitar Hospital Al Shifa.

Mereka dilapor menyasarkan kediaman yang mempunyai solar panel yang sedikit sebanyak membekalkan bekalan elektrik kepada penduduk.

Hospital pakar kanak-kanak, Hospital Nasser turut menerima nasib yang sama apabila kesemua solar panel premis itu turut dibedil.

Laporan awal mendapati laluan masuk ke hospital itu dibom sekaligus mengorbankan sekurang-kurangnya 10 individu.

Bagaimanapun koresponden Al Jazeera Hani Mahmoud memberitahu jumlah sebenar korban belum dapat dipastikan setakat ini.

Terdahulu Israel telah mengebom beberapa hospital lain termasuk, Hospital Al Shifa, Hospital Al Quds dan Hospital Indonesia.

Sementara itu di timur Rafah, tangki air turut dimusnahkan tentera zionis.

Tangki air awam berkenaan sebelum ini membekalkan air kepada beberapa kawasan kejiranan.

Bukan itu sahaja, bot nelayan yang berada di pengkalan Rafah turut dibakar tentera Israel, menjadikan laluan air kini sudah tidak lagi selamat untuk digunakan

Lebih biadab, sebuah masjid di kawasan yang padat dengan penduduk, Sabra di barat Gaza turut dibom .

Di Gaza City pula, sebuah penjana elektrik utama di Hospital Al Wafa juga dimusnahkan dan kini ia langsung sudah tidak berfungsi.

Situasi ini menunjukkan Israel akan memusnahkan segala sumber kemudahan asas yang diperlukan warga Gaza untuk kelangsungan hidup.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini