PATTANI, Selatan Thailand: Banjir di wilayah selatan Thailand dilaporkan mengakibatkan kehilangan dua nyawa penduduk tempatan hari ini, susulan rumah mangsa dinaiki air sejak semalam manakala ribuan lagi penduduk terjejas terpaksa dipindahkan.
Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu berkata seorang mangsa wanita berusia 42 tahun, yang mempunyai masalah ingatan, ditemui di kawasan sawah berhampiran rumahnya, manakala seorang mangsa lelaki berusia 26 tahun pula ditemukan di dalam rumahnya.
Katanya, 12 daerah di Pattani ditenggelami air akibat limpahan Sungai Pattani dan Saiburi, dengan paras air mencecah sehingga dua meter, iaitu lebih 20,000 keluarga terjejas dan perlu dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.
Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Totham berkata 13 daerah di wilayah itu terjejas akibat banjir menyebabkan banyak aktiviti perniagaan terpaksa dihentikan.
“Saya dimaklumkan seramai 154,535 orang daripada 42,285 keluarga terjejas selepas paras air di tiga sungai utama iaitu Sungai Golok, Sungai Saiburi dan Sungai Bannara, melimpahi tebing sehingga satu meter.
“Situasi ini telah menyebabkan 13 daerah, 76 mukim dan 540 kampung ditenggelami air,” katanya.
Di BANGKOK, Ketua Polis Diraja Thailand, Pol Gen Kittharath Punpetch mengarahkan Polis Wilayah 8 dan 9 di Wilayah Selatan Thailand untuk memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas sehingga keadaan kembali pulih.
Katanya, Polis Diraja Thailand sedang memantau keadaan banjir dengan teliti bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan segera kepada mangsa yang terjejas.
“Langkah-langkah ini termasuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda, melancarkan aliran trafik di kawasan banjir, serta menangani keperluan pegawai dan fasiliti polis yang turut terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kittharath berkata semua anggota polis di kawasan terjejas diarahkan untuk memantau keadaan, menasihati orang ramai mengenai laluan alternatif dan membuat rondaan bagi melindungi nyawa serta harta benda.
“Langkah-langkah juga telah diambil untuk mencegah sebarang aktiviti jenayah yang mungkin menyasarkan mangsa banjir,” katanya.
-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.