comscore
Tumpuan :
Dunia

Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam kebakaran hutan di Peru

FOTO: Reuters

LIMA: Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban akibat kebakaran hutan yang berlaku di beberapa kawasan di Peru, kata Menteri Kesihatan, Cesar Vasquez pada Isnin.

“Malangnya 15 kematian direkodkan setakat ini, dengan enam orang masih dirawat di hospital dan 128 orang dibenarkan keluar,” katanya kepada pemberita.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan terus memberikan sokongan perubatan kepada mereka yang terjejas di kawasan yang dilanda kebakaran, lapor Xinhua.

Hujung minggu lalu, Institut Pertahanan Awam Kebangsaan memaklumkan bahawa 222 kebakaran hutan direkodkan di 23 daripada 25 wilayah negara itu tahun ini, dengan 51 daripadanya masih aktif.

Pada Isnin, Presiden Peru Dina Boluarte berlepas ke wilayah Amazon untuk memantau kawasan yang terjejas dan menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa tempatan serta institusi lain.

Sementara itu, kebakaran hutan di daerah Aveiro, Portugal meragut dua nyawa dan menyebabkan lebih 1,200 anggota bomba dikerah ke lokasi kebakaran.

Kebakaran paling dahsyat bermula di Oliveira de Azemeis, manakala Sever do Vouga dan Albergaria-a-Velha turut terjejas teruk.

Seorang maut di Sever do Vouga dan seorang lagi meninggal dunia akibat serangan jantung semasa usaha memadam kebakaran di Albergaria-a-Velha.

Dalam kejadian itu, empat orang lagi cedera, dan kira-kira 70 orang dipindahkan.

Kebakaran terus merebak, menyebabkan penutupan jalan raya dan kerosakan harta benda. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini