Tumpuan :
Dunia

Sambutan Maulidur Rasul meriah di seluruh dunia

Wanita dan kanak-kanak Palestin berkumpul di pekarangan Masjid Al-Aqsa bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. – Foto: Reuters.

ISTANBUL:  Umat Islam di seluruh dunia mengadakan pelbagai aktiviti yang mengagungkan Nabi Muhammad SAW bagi meraikan hari kelahiran baginda pada tanggal 12 Rabiulawal.

Selain perarakan, antara dilakukan pada sambutan yang turut dikenali Mawlid al-Nabawi adalah mengimarah masjid, membaca al-Quran dan menyemarakkan lagi rasa kecintaan dengan mendengar ceramah dan berselawat memuji Tuhan dan Rasul.

Foto: Reuters

Pada hari ini juga, diisytihar cuti umum bagi negara majoriti penduduk Islam termasuk Pakistan, Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan beberapa negeri di India.

Di Turkiye, sambutan dikenali Mevlid Kandili menyaksikan masyarakat Islam berkumpul di masjid, menziarahi makam wali sufi dan berkumpul bersama keluarga serta rakan sambil menikmati manisan tradisional.

Foto: Reuters

Penduduk Arab Saudi pula menyemarakkan sambutan dengan menghadiri ceramah, seminar dan diskusi mengenai Nabi Muhammad SAW, serta menekankan keperluan memahami dan mengikut sunnah nabi.

Sementara di Pakistan, ramai penduduk menghias kediaman, jalan dan masjid dengan lampu berwarna-warni dan menaikkan sepanduk petikan ayat suci al-Quran.

Komuniti Islam negara itu juga mengambil kesempatan hari kelahiran nabi untuk bersedekah dan menganjurkan aktiviti kebajikan serta memberi makanan percuma.

Penduduk Palestin di Tebing Barat pula menghias kota lama Nablus, selain mengunjungi Masjid Al-Aqsa. -AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini