Tumpuan :
Dunia

Salji lebat landa Jepun

Foto fail Reuters

JEPUN: Udara sejuk yang kuat dan corak tekanan musim sejuk menyebabkan salji lebat di sepanjang pantai Laut Jepun di Hokkaido dan pulau utama Honshu serta di kawasan rendah di wilayah Kinki dan Tokai.

Agensi Meteorologi Jepun menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap kemungkinan gangguan trafik, bekalan elektrik, pokok tumbang dan runtuhan salji.

Dalam tempoh enam jam sehingga 11 pagi pada Rabu, 33 sentimeter salji direkodkan berhampiran bandar Sapporo di Hokkaido, 19 sentimeter di Bandar Yuzawa di Wilayah Niigata dan 17 sentimeter di bandar Akita serta bandar Shobara di Wilayah Hiroshima.

Setakat 11 pagi Rabu, timbunan salji telah mencecah 4.94 meter di Sukayu di banjaran Gunung Hakkoda di wilayah Aomori dan 3.44 meter di Bandar Tsunan di Wilayah Niigata.

Dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Khamis, salji dijangka turun sehingga 70 sentimeter di wilayah Tohoku, Hokuriku dan Niigata, serta 60 sentimeter di rantau Kanto-Koshin.

Ahli ramalan cuaca juga menjangkakan 50 sentimeter salji di Wilayah Gifu dan rantau Kinki manakala 40 sentimeter di rantau Chugoku. -NHK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini