comscore
Tumpuan :
Dunia

Rusia dan Ukraine bertukar tawanan perang

FOTO: Reuters

MOSCOW: Rusia dan Ukraine mengadakan satu pertukaran tahanan perang berskala besar pada Sabtu, melibatkan 206 orang hasil rundingan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mengumumkan seramai 103 rakyat Ukraine yang dibebaskan adalah daripada kalangan tentera, terdiri daripada 82 anggota biasa dan 21 pegawai.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan bahawa 103 askar mereka yang dibebaskan adalah tahanan yang ditawan di wilayah sempadan Kursk, di mana tentera Ukraine telah melancarkan serangan mengejut pada Ogos lalu.

“Rakyat kita kini selamat pulang ke tanah air, kita berjaya membawa pulang 103 pejuang lagi daripada tahanan Rusia.” kata Zelenskiy menerusi aplikasi Telegram.

Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, kedua-dua negara sering menukar tahanan perang. Pertukaran pada Sabtu merupakan kali ketiga sejak Ukraine memulakan serangan rentas sempadan ke wilayah Kursk di Rusia pada awal Ogos.

Pegawai Ukraine sebelum ini memaklumkan bahawa tentera mereka telah menawan sekurang-kurangnya 600 askar Rusia semasa pencerobohan tersebut, yang membantu dalam rundingan untuk membebaskan tahanan Ukraine.

Menurut Reuters yang memetik sumber media tempatan menyatakan, setakat ini, Kiev berjaya membawa pulang 3,672 rakyat Ukraine menerusi 57 pertukaran tahanan. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini