Tumpuan :
Dunia

Rundingan damai Selatan Thailand disambung semula hari ini

FOTO: Reuters

PATTANI: Proses Dialog Damai di Selatan Thailand disambung semula pada Selasa di Kuala Lumpur selepas setahun tergendala.

Timbalan Ketua Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Thailand, Chatchai Bangchuad mengetuai Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand bagi mengadakan rundingan dengan delegasi Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai Anas Abdulrahman.

Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan bertindak sebagai perantara bagi rundingan selama dua hari itu.

Jurucakap Tentera Bahagian Keempat Lt Jen Pramoth Prom-in berkata proses dialog itu dijangka membincangkan mengenai Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Pendamaian (JCPP).

Pelan itu merangkumi rundingan awam, pengurangan keganasan dan penyelesaian politik bagi menjamin keamanan yang mampan di selatan Thailand.

“Kami berharap dapat menurunkan kadar keganasan pada Ramadan dan sambutan Songkran akan datang,” katanya.

Rundingan damai itu terhenti selepas BRN mengumumkan penangguhan rundingan sementara menunggu Pilihan Raya Umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baharu tahun lepas.

Sementara itu, Panglima Wilayah Tentera Keempat (Commander of the 4th Army Region) Lt Jeneral Santi Sakuntanark berkata penyambungan semula rundingan itu membawa sinar harapan bagi menyelesaikan konflik selama berpuluh tahun dan mewujudkan keamanan yang mampan di rantau terbabit.

“Kami berharap agar Ramadan dan Songkran tahun ini bebas keganasan manakala suasana yang selamat dan sejahtera dapat diwujudkan,” katanya.

Pada 2022, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan. Kerajaan menganggap perjanjian ini berjaya dan berusaha untuk memanfaatkan kemajuannya.

Proses rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN bertujuan mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik yang memuncak pada Jan 1994 di wilayah selatan seperti Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini