Tumpuan :
Dunia

Rumah runtuh tepi pantai di Gaza masuk iklan hartanah Israel

BAITULMAQDIS: Rumah tepi pantai di bandar Gaza yang sudah runtuh akibat dibom tentera zionis sudah diiklankan sebagai ‘rumah pantai impian’ oleh ejen hartanah Israel.

Portal Express UK melaporkan, sebuah syarikat hartanah Israel itu juga sedang bersiap sedia untuk membina vila di atas tanah milik Palestin.

Harey Zahav, sebuah syarikat hartanah terkemuka di Israel itu dengan biadab mengiklankan pembinaan rumah pantai di Gush Katif, ketika perang berlarutan antara Israel dan Hamas.

Kawasan itu di dalam Gaza, adalah sebahagian daripada 17 penempatan Israel di dalam wilayah tepi pantai itu, sehingga Ogos 2005.

Ia apabila penduduk Israel di situ meninggalkan rumah mereka selepas tentera zionis berundur dari enklaf itu.

Dalam rentetan siaran ke akaun Instagram (IG) Harey Zahav, syarikat itu berkongsi hasratnya untuk membina kondominium di tepi pantai, dengan video yang menunjukkan pekerja bercakap mengenai rancangan di tapak, serta grafik lain yang menunjukkan apa yang kelihatan seperti susun atur perumahan dan juga peluang untuk membeli ketika prajualan.

“Kami berharap dalam masa terdekat, semua mangsa culik akan dikembalikan dengan selamat ke rumah mereka, askar kami akan pulang ke rumah, dan kami akan dapat memulakan pembinaan di Semenanjung Gaza, di Gush Katif,” kata Harey Zahav dalam siaran di IG itu.

Ketika Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober dan lembaran baharu konflik itu diselesaikan, ramai pihak di Israel yang seronok dan mengimpikan untuk kembali ke kawasan Palestin itu.

Pada 26 Oktober, ramai orang memberitahu The Times of Israel bahawa mereka bermimpi untuk kembali ke rumah lama mereka.

Zevulun Kalfa, 61, yang tinggal di Sa’ad, iaitu penempatan Israel kurang empat kilometer dari sempadan Gaza, berkata dia mempunyai anak dan cucu yang bermimpi untuk kembali ke sana.

Loading...
Terkini