TOKYO: 32 orang awam panik apabila operasi sebuah ‘roller coaster’ di Universal Studios Jepun di Osaka, terhenti pada separuh perjalanannya semalam dan gerabaknya tergantung dalam keadaan terbalik pada ketinggian lebih 30 meter.
‘Roller coaster’ Flying Dinosaur berhenti di salah satu titik tertinggi apabila ia berpusing di sekitar paksi trek dan bergerak terbalik kira-kira 11 pagi, lapor penyiar awam Jepun NHK.
Pengendali taman itu dipetik sebagai berkata, ketika kejadian, 32 orang berada dalam gerabak itu.
Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu kerana individu terbabit dikeluarkan melalui tangga kecemasan.
Bagaimanapun laporan itu tidak memperincikan tempoh mangsa terkandas.
Pengendali taman itu berkata, ‘roller coaster’ berhenti secara automatik jika sensor yang dipasang pada tarikan mengesan kelainan tetapi punca sebenar kejadian masih tidak diketahui.
Insiden membabitkan jentera sama berlaku pada 1 Mei 2018 sehingga menyebabkan penumpang tergantung terbalik selama kira-kira dua jam.
Dalam kejadian itu, dua gerabak Flying Dinosaur yang membawa 64 penunggang turut berhenti secara tiba-tiba di tempat berasingan dalam perjalanan sepanjang 1,120 meter itu.
Pengusaha taman berkata, kerosakan itu disebabkan bahagian yang mengawal motor rosak.
Satu lagi ‘roller coaster’ di Universal Studios Jepun juga mengalami isu mekanikal.
Pada 22 Januari 2022, kira-kira 30 orang diselamatkan daripada gerabak Hollywood Dream.
Mereka terperangkap dalam keadaan duduk secara menegak selama kira-kira 90 minit sebelum berjaya diselamatkan.
Kejadian itu berlaku tiga bulan selepas ‘roller coaster’ sama terhenti secara tiba-tiba kerana gangguan bekalan elektrik sehingga menyebabkan 35 orang terkandas. – AGENSI