comscore
Tumpuan :
Dunia

MAJALAH 3: Riwayat raja rimba

PETALING JAYA: Kewujudan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) mampu mengatasi masalah kepupusan spesies haiwan berkenaan yang kian membarah umpama menyambung riwayat sang raja rimba.

Harimau Malaya antara enam subspesies di dunia yang masih wujud berbanding tiga lagi yang sudah dikenalpasti pupus.

Pengecilan hutan bersifat komersial juga menghalang pergerakan harimau, menjadikannya sukar untuk mencari makanan dan pasangan.

Ketua Pusat Konservasi Harimau, Saat Yaakob berkata, usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya bermula daripada proses pembiakan dalam kurungan.

Bagaimanapun, keupayaan harimau yang sedia ada semakin merudum, disebabkan faktor usia dan tahap kesihatan yang kurang memuaskan.

“Kita buat program pembiakan untuk meningkatkan populasi harimau dalam kurungan dengan kerjasama Zoo Malaysia apabila melihat populasi harimau dalam kurungan juga sangat berkurangan.

“Ia berlaku atas faktor lain, antaranya faktor kesihatan dan faktor usia. Jadi kita memang perlu bekerjasama erat untuk membiakkan harimau dalam kurungan sebagai sebahagian daripada proses untuk melepaskan ia ke habitat asal,” katanya.

Kerjasama erat dengan beberapa zoo di negara ini membawa nafas baharu bagi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam usaha menambah induk untuk dibiak.

Sehingga kini, belum ada anak harimau berjaya dilahirkan di MTCC walaupun telah melalui pelbagai cubaan dengan pasangan yang berlainan.

Menurut Pembantu Hidupan Luar, Muhammad Zahrul Hayat Zaini, John, induk jantan tertua di pusat konservasi itu telah melalui banyak fasa pembiakan.

“Kita tidak boleh pilih lepas itu esok terus campur, dia ada beberapa langkah. Biasa kita ambil dalam dua ‘cycle’ untuk campurkan dia, di mana kitaran pertama dipanggil sesi suai kenal dan bila kita campurkan nanti tiada berlaku pergaduhan sampai si betina menunjukkan 5 tanda.

“Kemudian kita akan tengok pula respon si jantan sama ada positif atau sebaliknya. Kadangkala bila dah tunjuk kelima-lima tanda itu, kalau jantan tidak bersedia, tidak boleh juga dicampurkan dan kita kenalah tunggu si jantan ini bersedia” katanya.

Usaha mengembalikan belang ke belantara bukan sahaja digalas pihak bertanggungjawab, malah, nilai kesedaran masyarakat juga perlu digarap.

Betapa pentingnya kewujudan mamalia seperti ini dalam menepati keseimbangan ekosistem dan tidak dijaga, kelak mencalar maruah ikon negara.

Buah Perah Rezeki Belantara

Pokok perah atau nama saintifiknya elateriospermum tapos adalah sejenis tumbuhan hutan yang hidup subur dalam hutan khatulistiwa.

Buahnya berbentuk bulat mengandungi tiga biji kekacang perah yang akan meletup seperti buah getah apabila matang.

Rasanya hampir sama dengan kacang rebus atau buah berangan, namun, buah itu boleh mendatangkan mabuk jika tidak dimasak dengan betul.

Seorang peniaga, Rasol Abdullah berkata, buah perah tidak ada pantang larang dan jika ingin menjamah buah yang mentah, syarat orang tua-tua supaya makan di bawah pohonnya.

“Kalau kita bawa balik dan makan tanpa memasaknya terlebih dahulu, kita akan jadi mabuk. Mabuknya lebih daripada mabuk minuman keras,” katanya yang sudah empat tahun menjadi peniaga buah perah bersama isterinya.

Tambahnya lagi, tidak ramai yang mengenali spesies buah perah kerana ia hanya terdapat di hutan-hutan besar.

Badli Shah dan Azman, pencari buah perah.

Sementara itu, bagi Badli Shah Mat Adam, buah perah merupakan sumber pendapatan bagi dirinya sejak berumur 12 tahun.

Raub yang masih dikelilingi hutan tebal dan menghijau membolehkan beberapa pokok buah perah hidup subur di pinggir Lampung Peruas.

Ia secara tidak langsung memberi peluang rezeki kepada penduduk kampung sekitar untuk menjalankan aktiviti ekonomi sampingan mencari dan mengumpul buah perah.

Ikuti dua kisah ini dalam Majalah 3 jam 9.00 malam ini di TV3. Bagi yang terlepas boleh langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh di Tonton, dan WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini