NEBRASKA: Pihak berkuasa di San Francisco, California mengeluarkan amaran puting beliung pertama bagi bandar itu, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Pada Sabtu, puting beliung melanda berhampiran sebuah pusat beli-belah di Scotts Valley, California, merosakkan kenderaan, mengakibatkan pokok tumbang dan menyebabkan beberapa orang cedera.
Laporan itu turut menyebut cuaca buruk melanda pelbagai kawasan di Amerika Syarikat, termasuk salji tebal di utara New York, ribut di negeri-negeri Midwest, serta amaran cuaca buruk di sekitar Tasik Tahoe.
Ribut yang bermula pada petang Jumaat mewujudkan keadaan jalan licin bagi kenderaan di Iowa dan Nebraska timur, menyebabkan penutupan sementara Lebuhraya 80. Di utara New York, lebih 33 inci (84 sentimeter) salji direkodkan berhampiran Orchard Park.
Di San Francisco, beberapa pokok tumbang menimpa kenderaan dan jalan raya, serta merosakkan bumbung bangunan.
Sementara itu, puluhan ribu penduduk di barat Washington terputus bekalan elektrik pada Sabtu akibat ribut yang membawa hujan lebat dan angin kencang, lapor saluran berita tempatan. – BERNAMA -WAM
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.