MADRID: Ribuan penduduk Madrid turun ke jalan pada Ahad dalam protes besar-besar bagi menuntut harga perumahan yang lebih mampu milik dan mengecam kenaikan kos sewa yang membebankan mereka.
Reuters yang memetik media tempatan melaporkan, kira-kira 12,000 penunjuk perasaan menyertai protes tersebut.
Mereka melaungkan slogan ‘perumahan adalah hak, bukan perniagaan’ adalah tindak balas daripada dasar perumahan yang berat sebelah.
Protes itu juga menyoroti isu pengusiran dan kesempitan hidup selepas krisis pandemik yang memberi kesan kepada ramai penduduk terutama dalam konteks pemilikan rumah.
Ini kerana pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat adalah lebih sukar meskipun sudah mencapai usia lewat 30-an.
Sepanyol kini berdepan cabaran besar dalam mengimbangkan promosi pelancongan sebagai sumber utama ekonomi dan menangani kebimbangan rakyat terhadap kenaikan sewa serta pemilik rumah yang beralih kepada penyewaan pelancong yang lebih menguntungkan.
Sejak beberapa bulan lalu, kerajaan Sepanyol telah mengumumkan tindakan tegas terhadap penyewaan jangka pendek yang menjejaskan harga sewa rumah tempatan.
Langkah itu termasuk menyiasat platform seperti Airbnb untuk memastikan penyenaraian mereka sah dan berlesen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.