comscore
Tumpuan :
Dunia

Ribuan peminat iringi perjalanan akhir Sinead O’Connor

Foto : Reuters

DUBLIN: Jenazah penyanyi pop kelahiran Irish, Sinead O’Connor yang menghembuskan nafas terakhirnya di London bulan lalu, selamat dikebumikan di Ireland, semalam (waktu tempatan), lapor agensi.

Agansi Anadolu melaporkan, jenazah Allahyarham O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat dibawa melalui kampung halamannya di Bray, kira-kira 20 kilometer di selatan Dublin.

Kenderaan jenazah turut berhenti di kediamannya di Bray yang pernah menjadi tempat O’Connor tinggal selama 15 tahun.

Ribuan peminat termasuk selebriti dan orang kenamaan memenuhi jalan di bandar bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham O’Connor.

Presiden Ireland, Michael Higgins dan Perdana Menteri, Leo Varadkar, Bob Geldof serta penyanyi kumpulan U2, Bono antara yang menghadiri majlis tersebut.

Higgins dalam satu kenyataan berkata, limpahan kesedihan dan penghargaan terhadap kehidupan serta kerja O’Connor menunjukkan kesan mendalam penyanyi itu pada rakyat Ireland.

“Sumbangan uniknya membabitkan pengalaman digabungkan dengan tahap kreativiti hebat dan luar biasa yang dipilih untuk disampaikan melalui suara, muzik dan lagunya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Imam di Pusat Islam Ireland, Shaykh Umar Al Qadri yang mengetuai upacara pengebumian menyifatkan arwah insan dikurniakan suara yang magis.

O’Connor memeluk Islam pada 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada Sadaqat, tetapi kekal dengan nama Sinead O’Connor ketika membuat persembahan.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun, bulan lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di London.

Walaupun punca kematiannya masih belum didedahkan kepada umum, namun polis mengesahkan ia tidak mencurigakan.

Sejak membuat kemunculan antara 1987 sehingga 2014, O’Connor sudah menghasilkan 10 album studio. Antara lagi popularnya termasuklah Nothing Compares 2 U yang dirakam pada 1990.

Disebabkan kehidupan zaman kanak-kanak yang penuh trauma, O’Connor berperang dengan masalah mental dan fizikal. Beliau juga menghidap bipolar dan berjuang dengan masalah fibromygia.

Pada Januari 2022, anak lelakinya, Shane ditemui mati selepas dilaporkan hilang dua hari.

Kematian Shane amat memberi kesan kepadanya sehingga membuat keputusan membatalkan semua persembahannya sepanjang tahun lalu.

Beliau dipercayai mengalami kesedihan berpanjangan dan mengalami kemurungan.

Susulan kematian Shane, O’Connor turut memberi penghormatan kepada Shane dalam salah satu tweet terakhirnya, “Cinta dalam hidup yang menerangi jiwa. Kami satu jiwa dalam dua bahagian,” tulisnya – AGENSI

Loading...
Terkini