
SEOUL: Perkhidmatan Perisikan Negara Korea Selatan (NIS) melaporkan bahawa Korea Utara telah menghantar ribuan pekerja ke tapak pembinaan di Rusia sejak tahun lalu, selepas menghantar tenteranya untuk berperang di Ukraine.
Setiap pekerja menerima elaun bulanan kira-kira AS$800 (RM3,575) dan Korea Utara telah menghantar sekitar 4,000 pekerja setakat ini.
Menurut Ahli Parlimen Parti Demokratik Korea, Wi Sung-lac, penghantaran ini mungkin untuk menampung kekurangan tenaga kerja di Rusia akibat perang di Ukraine.
Sebelum sekatan, jumlah pekerja yang dihantar boleh mencecah puluhan ribu, tetapi sekatan kini menghalang penghantaran pekerja.
Langkah ini melanggar Resolusi 2375 Majlis Keselamatan PBB yang melarang pengeluaran permit kerja kepada pekerja Korea Utara. Korea Utara dan Rusia dikatakan mengelak sekatan ini dengan menggunakan visa pelajar.
Pada Januari, NIS melaporkan bahawa tentera Korea Utara ditarik balik dari Kursk di Russia selepas kehilangan banyak anggota.
Sehingga pertengahan bulan lalu, NIS menganggarkan sekurang-kurangnya 300 tentera Korea Utara terbunuh dan 2,700 cedera di Ukraine.
Sejak Oktober tahun lalu, Korea Utara menghantar kira-kira 11,000 tenteranya ke Rusia untuk berperang di Ukraine, dengan bayaran sekitar AS$2,000 (RM8,936) sebulan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.