Tumpuan :
Dunia

Ribuan doktor lancar mogok, tuntut kenaikan gaji

LONDON: Ribuan doktor kanan dalam Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain melancarkan mogok di seluruh England, mengakibatkan gangguan besar-besaran terhadap perkhidmatan penjagaan pesakit.

Lapor Agensi Berita Jerman (dpa) doktor perunding dan doktor gigi melancarkan mogok selama 48 jam mulai Khamis hingga 7 pagi waktu tempatan pada Sabtu.

Ketua Eksekutif NHS Providers, Julian Hartley, berkata: “Impak mogok ini terhadap pesakit dan perkhidmatan mungkin akan menjadi yang terbesar.

“NHS tidak boleh berfungsi sepenuhnya tanpa perunding,” katanya.

Pemimpin kesihatan memberi amaran bahawa penjagaan yang dirancang akan “terhenti secara maya”, dengan doktor kanan hanya menyediakan perlindungan kecemasan seperti Hari Krismas.

Ini bermakna dalam banyak kes, doktor perunding akan dalam mod “on call” sepanjang Khamis dan Jumaat.

Beribu-ribu pembedahan, prosedur dan temu janji telah dibatalkan dan sedang dijadualkan semula dalam mogok pertama doktor perunding dalam satu dekad.

Protes itu dibuat hanya dua hari selepas doktor junior melancarkan mogok tidak datang kerja selama lima hari, paling lama dalam sejarah NHS.

Lebih 24,000 perunding mengundi dalam undian Persatuan Perubatan Britain (BMA) untuk tindakan industri bulan lalu, dengan majoriti besar (20,741 atau 86 peratus) mengundi menyokong.

Kerajaan telah memberitahu perunding bahawa mereka akan menerima kenaikan gaji sebanyak enam peratus tetapi BMA menyifatkannya tidak memadai.

Sementara itu, semasa mogok 48 jam, orang ramai digesa untuk menghubungi 999 untuk kecemasan yang mengancam nyawa dan menghubungi NHS 111 bagi masalah kesihatan yang lain.

Perkhidmatan GP dan farmasi akan berjalan seperti biasa.

Doktor akan menyertai piket di seluruh England, manakala perhimpunan akan diadakan di ibu pejabat BMA di tengah London pada petang Khamis, dihadiri oleh pengerusi jawatankuasa perundingnya Dr Vishal Sharma.

Dalam satu kenyataan, Dr Sharma berkata Setiausaha Kesihatan Steve Barclay hanya berjumpa doktor sekali dalam tujuh bulan dan telah menolak perbincangan lanjut mengenai gaji.

Analisis menunjukkan gaji doktor perunding agak jauh ketinggalan berbanding peguam, arkitek dan penasihat kewangan, menurut BMA. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini