Tumpuan :
Dunia

Restoran di Jerman bergelut masalah kekurangan pekerja

Foto Reuters

BERLIN: Jerman kini bergelut dengan masalah kekurangan lebih 65,000 pekerja dalam sektor perhotelan dan restoran, menurut persatuan industri hospitaliti Dehoga.

“Menurut tinjauan bulanan Dehoga, kekurangan pekerja merupakan antara cabaran terbesar dalam kalangan perniagaan,” kata persatuan itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

“Agensi Pekerjaan Persekutuan melaporkan 33,160 kekosongan dalam industri perhotelan bagi bulan Jun.

“Bagaimanapun, kami mengandaikan permintaan sebenar sekurang-kurangnya dua kali lebih tinggi, kerana banyak perniagaan tidak lagi melaporkan kekosongan mereka kepada agensi pekerjaan atau pusat pekerjaan,” kata pakar pasaran buruh Dehoga, Sandra Warden.

Warden berkata sebanyak 40,000 kekosongan dilaporkan bagi Jun 2019. Masalah itu bertambah teruk sejak itu (selepas pandemik COVID-19).

Sementara itu, perniagaan gastronomi mengambil pelbagai langkah bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Ada perniagaan yang terpaksa memendekkan waktu operasi mereka, menutup perniagaan pada hari-hari tertentu atau mengehadkan tawaran menu,” kata Warden.

Beberapa restoran mula menumpukan kepada perkhidmatan layan diri.

Warden berkata ahli Dehoga berharap industri akan mendapat manfaat segera daripada kemungkinan yang ditawarkan menerusi pembaharuan imigresen selain memudahkan pekerjaan untuk golongan pelarian. Selain itu, persatuan menggesa supaya kempen latihan dalam pelbagai kemahiran dilaksanakan agar profesion dan kemahiran praktikal diberikan keutamaan. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini