GAZA: Seorang kanak-kanak dan dua wanita maut dirempuh dalam satu kejadian rempuhan di sebuah kedai roti di bandar Deir Al-Balah, tengah Gaza pada Jumaat lalu.
Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah menerusi satu kenyataan berkata dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia di depan sebuah kedai roti di Deir Al-Balah akibat rempuhan ketika cuba membeli roti.
Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, semua kedai roti di Gaza terpaksa ditutup pada Rabu lalu kerana kekurangan bekalan yang memasuki wilayah Palestin itu dan memberi amaran bahawa ‘kebuluran semakin menghampiri’ di Gaza.
Israel mengenakan sekatan hampir sepenuhnya ke atas Gaza sejak perang bermula lebih setahun lalu, apabila Hamas melancarkan serangan luar biasa ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu, PBB dan organisasi antarabangsa lain berulang kali meminta Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah yang terkepung itu.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran pada Khamis lalu mengenai keadaan pemakanan yang semakin buruk di Gaza dengan dua pertiga kes malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak pada 2024, dilaporkan dalam tempoh lima bulan lalu.
Israel terus melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, lebih 44,000 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 yang lain cedera. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.